Tribute to Pope Francis – Sunday 12NN Mass

📍 Sunday 12NN Mass
✍️ Written by Eva Glenn

Eva Glenn at World Youth Day 2023, Lisbon, Portugal

Pope Francis banyak menginspirasikan saya dalam perjalanan Iman saya sebagai seorang Katolik terutama sekali hubungan doa Pope Francis bersama Bonda Maria.  Beliau sering berdoa di hadapan Bonda Maria sebelum membuat keputusan penting dalam hidupnya. Malah, beliau memilih untuk disemadikan di Basilika Santa Maria Maggiore sebagai tanda kasih yang mendalam terhadap Bonda Maria. Daripada teladan beliau, saya menyedari betapa pentingnya doa dan hubungan rohani yang erat dengan Bonda Maria dalam perjalanan iman kita.

Saya mula mendengar tentang Hari Belia Sedunia (World Youth Day – WYD) daripada rakan-rakan yang pernah mengalaminya. Mereka bercerita dengan penuh semangat – tentang perjumpaan belia dari seluruh dunia, tentang kekuatan rohani, dan tentang perjumpaan dengan Paus sendiri. Saya terinspirasi. Namun, kekangan kewangan menjadi penghalang besar. Dalam hati, saya memegang kata-kata Paus Fransiskus:

Dear young people, do not bury your talents, the gift that God has given to you. Do not be afraid to dream of great things.

Saya berdoa dalam diam – semoga suatu hari, saya akan menjadi sebahagian daripada pengalaman itu.

Kemudian saya mendengar tentang kisah mukjizat di Fatima – tempat di mana Bonda Maria menampakkan diri kepada tiga kanak-kanak. Hati saya tersentuh. Saya mula berdoa agar suatu hari dapat menjejakkan kaki ke sana. Dan saya berniat dalam hati, “Jika WYD diadakan di Fatima, itu akan menjadi tanda daripada Tuhan.”

Pada tahun 2019, Paus Fransiskus mengumumkan bahawa WYD seterusnya akan diadakan di Lisbon, Portugal– hanya dua jam dari Fatima. Saya terdiam. Ini bukan kebetulan. Ini adalah jawapan daripada Tuhan. Walaupun pandemik melanda dunia dan banyak halangan timbul, semangat saya tidak pudar.

Pada tahun 2021, saya mengikuti Virtual Sabah Youth Day dan telah mereka ilustrasi “Mother Mary & Baby Jesus” pakaian tradisional Kadazan – satu penghormatan kepada budaya saya dan kepercayaan saya. Saya mereka ilustrasi ini untuk berterima kasih kepada pihak penganjur Virtual Sabah Youth Day pada tahun tersebut. Di tahun yang sama banjir besar melanda Sabah, lalu saya mula mengambil inisiatif untuk  menjual baju T dengan ilustrasi untuk membantu mereka dalam kesusahan. dalam Dengan sokongan para pembeli saya akhirnya berjaya mengumpul dana yang mencukupi untuk banjir. Di bulan2 seterusnya, order untuk baju tersebut semakin banyak, lalu saya teruskan pembuatan baju untuk fundraising ke World Youth Day pula, Akhirnya, impian menjadi nyata. Saya hadir ke World Youth Day di Lisbon– dikelilingi oleh ribuan belia dari seluruh pelusuk dunia yang berkongsi iman yang sama. Saya juga berjaya sampai ke Fatima, tempat yang sekian lama saya impikan. Dan yang paling mengharukan, saya dapat melihat Paus Fransiskus secara langsung. walaupun dari jauh, saya merasakan kehadiran rohaninya yang menguatkan jiwa.

Pengalaman ini mengajar saya bahawa apabila kita berdoa dengan penuh kepercayaan, terutama melalui perantaraan Bonda Maria, Tuhan akan membuka jalan, walau tampak mustahil. Meneladani Pope Francis, doa bukan sekadar memohon perubahan, tetapi juga menguatkan iman dan keberanian untuk melangkah.

Segala puji bagi Tuhan. Terima kasih kepada Bonda Maria yang sentiasa mendoakan umatNya. Kita sama-sama doakan Roh Pope Francis tenang bersama Bapa di Syurga, dan Conclave pemilihan Pope baru dilancarkan 

Amen.