Pengarang: Edna Pristy Fening
Sejak dirinya Gereja Katolik Divine Mercy, Shah Alam, 18 tahun lepas, sudah menjadi tradisi bagi pelayanan Catholic Varsity Students (CVS) untuk mengalu-alukan kemasukan pelajar universiti semester baharu dari pelbagai kampus melalui program CVS Welcoming Gathering.
CVS Welcoming Gathering 2023 kali ini yang bertemakan “Maria Bangkit Dan Bergegas Pergi.” (Lukas 1:39), telah diadakan dengan meriahnya di Dewan St. Faustina pada 22 Oktober 2023 (Ahad), sejurus selepas Misa Bahasa Malaysia jam 12:00tgh.
Program dimulakan dengan sambutan kehadiran lebih kurang 200 pelajar universiti kemasukan baharu dan lama, yang kebanyakannya adalah dari UiTM kampus Shah Alam, Puncak Alam, dan Puncak Perdana.
Selesai sahaja jamuan makan tengah hari, acara dimulakan dengan perasmian oleh Rev Fr. Michel Dass, yang juga diiringi oleh Pelayan Pastoral Paroki bagi CVS, Joseph Asim, serta Ahli Majlis Pastoral Paroki, selaku Pensyarah Kanan UiTM, Dr Lovelyna Benedict Jipiu. Acara diteruskan dengan sesi puji-pujian dan penyembahan yang dipimpin oleh barisan Exco CVS sendiri.
“Secara peribadi, saya sangat tersentuh waktu sesi penyembahan sehingga mengeluarkan air mata, sebab telah banyak saya pendam sepanjang melanjutkan pelajaran di sini.” kata Suncaroline Hairry, pelajar Semester 2, dari UiTM Puncak Perdana.
Objektif utama bagi setiap penganjuran CVS Welcoming Gathering adalah untuk perkenalkan kepada pelajar akan pelayanan Catholic Varsity Students (CVS), di bawah naungan Paroki Divine Mercy, Shah Alam, agar mereka dapat melibatkan diri dalam komuniti seiman, dengan harapan mendapat sokongan sosial serta bimbingan untuk pertumbuhan iman Katolik mereka. Keperluan sokongan sosial serta ruang untuk pertumbuhan iman Katolik para pelajar ini dilihat penting oleh pihak Gereja terutama sekali untuk melindungi dan menjaga kebajikan Orang Muda Katolik yang berada jauh dari keluarga, serta untuk membantu mereka dalam menghadapi isu kejutan budaya di persekitaran baharu.
Dalam pada itu, para pelajar telah diperkenalkan dengan barisan Exco CVS, seterusnya dihiburkan pula dengan persembahan nyanyian ‘action song’ dan sketsa drama oleh para ‘senior’.
Kata Carnixon Jiksing, pelajar Semester 1 dari UiTM Puncak Alam, “Saya tersentuh melihat para ahli jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran WG dimana mereka memberikan saya inspirasi untuk melayani Tuhan dengan segenap hati dalam apa pun bentuk pelayanan.”
Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk saling mengenali dengan lebih dekat antara satu sama yang lain melalui Sesi Games dan Perkongsian Berkumpulan yang mengaitkan peranan Bonda Maria dalam pengalaman mereka semasa menerima tawaran dan pengalaman sepanjang melanjutkan pelajaran.
Sepanjang CVS beraktif dengan pelayanan dalam Gereja, pihak Gereja telah memberikan sokongan penuh kepada kebajikan pelajar dalam pelbagai aspek termasuk dalam penganjuran CVS Welcoming Gathering 2023 kali ini, yang mana pengangkutan bas serta jamuan makanan telah disediakan oleh pihak Gereja.
Bagi mengakhiri program kali ini, para pelajar telah diteguhkan lagi dengan kupasan ringkas dan pemberkatan oleh Rev. Fr Michel Dass sebelum kembali ke kampus.