“Bersyukur Atas Tuaian, Melangkah Bersama Dalam Pengharapan” KAGAPE 2025

Ditulis oleh Batrisyia G. John

Setiap tahun, Komuniti Umat Berbahasa Malaysia (KUBM) di Church of the Divine Mercy, Shah Alam, berkumpul untuk satu perayaan istimewa, Kaamatan, Gawai dan Panen, atau lebih dikenali sebagai KAGAPE. Namun, di CDM, KAGAPE lebih daripada sekadar perayaan simbolik musim menuai, ia adalah lambang kesyukuran, kesatuan komuniti, dan pengharapan bersama. 

Tahun ini, sambutan KAGAPE 2025 membawa tema yang menyentuh hati: 

“Bersyukur Atas Tuaian, Melangkah Bersama Dalam Pengharapan”. 

Acara dimulakan dengan Tamu Muhibah KAGAPE yang meriah dari jam 9 pagi hingga 4 petang, menampilkan 13 gerai penjaja, dengan lebih 20 jenis makanan tradisi dari komuniti Sarawak, Sabah, dan Indonesia. Antara juadah tradisional yang mencuri perhatian termasuklah linopot, laksa Sarawak, Soto Ayam, Bakso, penjaram, dan pelbagai lagi makanan tradisional. Tidak ketinggalan, gerai minuman, kraftangan, kesenian, dan sayuran tradisional yang dibawa jauh dari Sabah. 

Menariknya, penjaja di Tamu tahun ini menyahut cabaran Laudato Si’ dengan menggunakan bahan mesra alam seperti pembungkus daun, serta menggalakkan pengunjung untuk membawa bekas sendiri – ya, inisiatif #BringYourOwnTupperware. Inisiatif yang dapat mengurangkan pembuatan sampah dari acara Tamu. 

Sama-sama kita menuju ke arah komuniti #ZeroWaste.

Penjaja Tamu menggunakan daun sebagai bahan pembungkusan bagi menyokong usaha mengurangkan penggunaan plastik dan kertas seiring dengan inisiatif #ZeroWaste komuniti CDM

Pada jam 12 tengah hari, umat berkumpul untuk Misa Bahasa Malaysia KAGAPE, yang dipimpin oleh Paderi Paroki kita, Rev. Fr George Harrison. Misa diraikan dengan suasana yang santai dan penuh khusyuk, membawa umat untuk merenung dan memahami makna sebenar syukur atas tuaian, bukan hanya dari segi hasil bumi, tetapi juga tuaian iman dan komuniti. 

Perjalanan Liturgi dimantapkan dengan lagu-lagu dalam pelbagai bahasa, dan alunan Mazmur dengan alunan tradisional Jawa yang sungguh menyentuh hati. Umat juga menggunakan pakaian tradisional yang berwarna-warni, menyerlahkan keindahan kepelbagaian budaya dalam satu tubuh Kristus. 

Walaupun tahun ini sambutan KAGAPE diraikan secara sederhana, namun kehadiran umat yang setia dengan suasana fellowship yang mesra menghidupkan seluruh perkarangan gereja. Ruang terbuka menjadi medan pertemuan, tempat umat bertegur sapa, bergambar, berkongsi cerita, dan berpeluang untuk turut serta dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Penjaja Tamu menggunakan daun sebagai bahan pembungkusan bagi menyokong usaha mengurangkan penggunaan plastik dan kertas seiring dengan inisiatif #ZeroWaste komuniti CDM

KAGAPE di CDM bukan sekadar tentang makanan dan tarian, tetapi juga tentang merayakan buah iman, buah usaha, dan buah kasih dalam komuniti kita. Dengan kehadiran komuniti dari pelbagai bangsa dan budaya, perayaan ini menyatukan semua dalam satu semangat, semangat syukur dan harapan dalam Kristus. 

Marilah kita terus melangkah bersama, dalam kesederhanaan dan kasih, menyambut tuaian bukan hanya dari bumi, tetapi dari jiwa-jiwa yang setia dan saling menyokong dalam komuniti ini. 

Terima kasih kepada semua yang menjayakan KAGAPE 2025. Jumpa lagi di tahun hadapan dengan semangat yang sama.