Shah Alam, 15 Disember 2024 – Dalam suasana penuh damai, seramai 20 pemimpin baru Komuniti Umat Berbahasa Malaysia (KUBM) telah diutus untuk sesi kepimpinan 2024-2026 di Church of the Divine Mercy, Shah Alam, Selangor. Upacara pertauliahan dan pengutusan ini berlangsung dalam perayaan Misa Kudus yang dirayakan oleh Paderi Paroki, Rev Fr George Harrison.
Upacara ini menjadi detik penting dalam perjalanan KUBM CDM, menandakan permulaan tanggungjawab dan komitmen baru untuk memimpin umat beriman. Pemimpin baru yang terpilih adalah individu yang berdedikasi dan bersemangat dalam memikul tugasan untuk memperkukuhkan komuniti melalui nilai-nilai iman Katolik.
Sebelum upacara pada hari ini, pada 1 Disember 2024, telah berlangsung majlis penyerahan tugasan daripada ahli jawatankuasa lama kepada tim baru. Majlis tersebut telah diadakan di Bilik St. John Vianney, Church of the Divine Mercy, dan turut disaksikan oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. George Harrison. Ia menjadi simbolik kepada kesinambungan kepimpinan yang penuh harapan bagi masa depan KUBM.
Dalam ucapannya, Rev. Fr. George Harrison menyeru pemimpin baru untuk terus menanamkan semangat perpaduan, pelayanan tanpa syarat, dan kesetiaan kepada misi Gereja. Beliau turut menekankan pentingnya merealisasikan visi KUBM, iaitu “Inkulturasi, Inklusiviti, dan Kebersamaan Komuniti,” sebagai panduan utama dalam melayani umat.
Dengan kepimpinan baru ini, KUBM berharap dapat terus berkembang dan berperanan aktif dalam menyatupadukan komuniti serta mengongsikan mesej cinta kasih Tuhan kepada semua orang.
Tahniah kepada semua pemimpin baru yang telah dipilih. Semoga Tuhan memberkati segala usaha dan misi mereka demi kebaikan umat beriman.
Untuk melihat koleksi foto penuh upacara ini, sila layari pautan berikut: Koleksi Foto Upacara Pengutusan Pemimpin Baru KUBM 2024.