Artikel ditulis oleh Edna Pristy Fening
Sambutan Perayaan KAGAPE 2024 (Kaamatan, Gawai, Panen) di Church of the Divine Mercy, Shah Alam, telah berlangsung dengan meriah pada 14 Julai 2024. Sambutan ini mengumpulkan komuniti yang merayakan pesta menuai, terutamanya para umat yang berasal dari Wilayah Sabah dan Sarawak, dan Negara Indonesia dan tidak ketinggalan juga komuniti setempat. Tema sambutan KAGAPE tahun ini adalah, “Inkulturasi, Inklusiviti, Komuniti”, dan tema ini telah diaplikasikan sepanjang acara berlangsung.
Acara Tamu KAGAPE telah berlangsung seawal jam 9 pagi dan sebanyak 24 gerai telah dibuka. Sepanjang Tamu berlangsung, setiap gerai mengamalkan Laudato si’, dengan inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik. Gerai-gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional, serta kraftangan yang menjadi salah satu tarikan bagi sambutan ini.
Misa KAGAPE Bahasa Malaysia telah dirayakan oleh Yang Mulia Uskup Datuk Cornelius Piong, Uskup Diosis Keningau, Sabah. Misa turut dirayakan bersama Paderi Paroki Church of the Divine Mercy, Rev Fr George Harrison, serta mantan Paderi Paroki CDM, Rev Fr Simon Labrooy, dan Rev Fr Paulino Miranda. Umat yang hadir turut mewarnai sambutan dengan mengenakan pelbagai busana tradisional suku kaum masing-masing, yang telah menambahkan lagi keunikan dan keindahan sambutan KAGAPE tahun ini. Misa sambutan KAGAPE telah diperkayakan lagi dengan tarian kebudayaan dari Sabah, Sarawak, dan Indonesia disertai dengan kumpulan koir KUBM yang menyanyikan lagu-lagu dari pelbagai bahasa dan dialek etnik suku kaum Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Homili Yang Mulia Uskup Datuk Cornelius Piong menekankan pentingnya budaya dalam mengungkapkan iman kita. Cara dan bahasa kita, menari serta menyanyi, semua ini adalah pemberian Tuhan yang perlu kita sedari untuk sentiasa bersyukur dan berbangga dengan identiti kita. Beliau juga menekankan bahawa inklusiviti adalah sifat Allah yang kita juga harus praktikkan dalam gereja. “Untuk membangun umat yang memperjuangkan sifat komuniti, sikap ambil peduli, dan sentiasa setia kepada Kristus walau apa pun,” kata beliau dalam menghuraikan pentingnya makna tema KAGAPE tahun ini.
Antara keunikan perayaan kali ini, kesemua umat yang hadir telah diberi benih tumbuhan sayuran sebagai cenderahati. Pemberian benih tersebut melambangkan benih Sabda yang ditaburkan dalam hati para umat beriman. Dan semoga benih-benih ini akan tumbuh subur dalam kehidupan, justeru menghasilkan buah-buah kebenaran serta keadilan.
Benih-benih ini tadi telah diberkati bersama Kitab Suci, bersempena dengan bulan Julai sebagai bulan Kitab Suci. Sebelum berkat perutusan, pemberkatan peperiksaan akhir semester telah diadakan bagi para pelajar Catholic Varsity Students (CVS).
Kedatangan Yang Mulia Uskup Datuk Cornelius Piong ke Dewan St. Faustina bersama para Paderi, diiringi dengan paluan Taboh Iban, telah disambut dengan penuh kemeriahan oleh umat yang telah menunggu di dalam dewan. Kehadiran mereka di dalam dewan pula telah disambut oleh paluan gong dari Sabah dan para penari Sekolah Minggu CDM.
Kehadiran tetamu jemputan khas, Pn. Gangging Sanggau (Persatuan Anak Borneo Semenanjung), Dr. Ajau Danis (Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam), (Ts). Dr. Noradzar Baba (Pengerusi Majlis Pengetua – HEP UiTM), serta NGO Solidarity Anak Sabah, dan Ahli Majlis Pastoral Paroki (PPC) telah memeriahkan lagi majlis di Tamu KAGAPE.
Ketibaan para jemputan dan umat telah disambut meriah dengan persembahan tarian rampaian Sabah dari anak-anak Sekolah Minggu CDM. Antara persembahan lain yang telah disajikan adalah alunan musik Gu Zheng dari wakil ‘Chinese Apostolate’, tarian dari anak-anak ‘Tamil Apostolate’, Tarian Ngajat Iban, Tarian Orang Ulu, dan Tarian Dusun Kujau.
Para umat turut dipersembahkan dengan nyanyian dari YM Uskup Datuk Cornelius, Rev Fr George, tarian oleh Bro Albert dan tim pelayan altar, Richard Rajak (Pengerusi KUBM CDM), dan Engelbert (ahli koir KUBM CDM).
Penutupan sambutan KAGAPE dan perayaan musim menuai telah disempurnakan dengan acara Ngetas Ranyai dan Ngiling Bidai.
Sambutan Perayaan KAGAPE 2024 di Church of the Divine Mercy, Shah Alam, telah disambut dengan penuh rasa syukur dan dengan semangat inkulturasi, inklusiviti, dan kebersamaan komuniti yang begitu erat. Acara ini memancarkan kepelbagaian yang memperkukuhkan ikatan di antara masyarakat. Semoga semangat kegembiraan dan solidariti ini terus mengukuhkan lagi kita sebagai satu komuniti yang padu dan harmoni.