Ditulis oleh Zekeria Henry
Shah Alam, 24 Mei 2025 – Di keheningan petang Sabtu yang penuh damai, terdengar alunan suara merdu berkumandang daripada kumpulan koir yang menyanyikan lagu “Penziarah Pengharapan”. Itulah sebahagian daripada aktiviti dalam Bengkel Koir dan Muzik yang telah berlangsung hujung minggu lalu di Church of the Divine Mercy.
Bertemakan “Penziarah Pengharapan”, bengkel ini diadakan khusus bagi memperkasakan teknik asas dalam nyanyian, terutamanya dalam konteks nyanyian berkumpulan ataupun koir. Bengkel ini dijalankan dari pukul 8:30 pagi hingga 4:00 petang dengan pelbagai sesi menarik yang disampaikan dalam Bahasa Malaysia.

Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan kepada pelayanan koir dan muzik dalam gereja secara asas. Penceramah untuk sesi ini ialah Saudara Joseph Asim, dibantu oleh Saudari Lovelyna Jipiu. Mereka memperkenalkan perjalanan awal pembentukan pelayanan koir dalam kalangan Komuniti Umat Berbahasa Malaysia (KUBM), bermula dari penubuhannya hingga ke hari ini. Selain itu, turut diterangkan pemilihan lagu-lagu yang sesuai untuk dibawakan dalam Misa Kudus berdasarkan bacaan Injil dan tema mingguan. Sesi ini secara tidak langsung menambah pengetahuan peserta mengenai kepentingan kewujudan pelayanan koir dan muzik dalam gereja.
Sesi kedua berlangsung dengan lebih aktif, apabila peserta bukan sahaja mendengar, tetapi turut terlibat secara praktikal. Dengan pengalaman sebagai tenaga pengajar dan bekas ahli koir, Saudari Odelia memulakan sesi dengan memperkenalkan anatomi vokal serta teknik asas nyanyian. Peserta diperkenalkan kepada struktur asas suara, kedudukan postur badan ketika menyanyi, serta latihan pemanasan suara yang penting. Sesi ini sangat membantu, baik untuk peserta pemula mahupun mereka yang sudah berpengalaman, dalam memperkukuhkan asas nyanyian mereka.
Seterusnya, dalam sesi ketiga, para peserta didedahkan dengan nyanyian secara berkumpulan atau koir yang lebih mendalam. Dalam sesi ini, Saudari Odelia mengajar peserta mengenal pasti jenis-jenis suara serta passaggio atau peralihan suara. Sesi ini menjadi lebih menarik apabila setiap peserta berpeluang melakukan latihan nyanyian yang disertai aktiviti interaktif, sekali gus memudahkan pemahaman dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Selesai makan tengah hari, sesi keempat diteruskan dengan mengaplikasikan latihan-latihan daripada sesi sebelumnya dalam sebuah lagu. Sesuai dengan tema bengkel, lagu “Penziarah Pengharapan” dipilih untuk latihan koir secara penuh. Peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil mengikut bahagian suara iaitu soprano, alto, tenor dan bass (SATB). Setiap kumpulan menjalankan latihan mengikut pembahagian suara masing-masing, dan peserta turut dibekalkan dengan notasi lagu serta audio panduan bagi memudahkan latihan kendiri.
Pada kemuncak program, semua kumpulan kecil digabungkan semula bagi mempersembahkan lagu tersebut secara bersama. Gabungan suara daripada setiap kumpulan telah membentuk satu paduan suara yang amat merdu, dan segala latihan dari sesi terdahulu berjaya diaplikasikan. Meskipun tidak semua peserta mempunyai pengalaman dalam nyanyian koir, sama ada di dalam mahupun di luar gereja, lagu “Penziarah Harapan” tetap bergema indah di perkarangan gereja.
Secara keseluruhan, Bengkel Koir dan Muzik ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasakan teknik asas nyanyian, malah berperanan mengeratkan hubungan dalam komuniti. Program ini membuka ruang harapan kepada peserta untuk lebih berani mengenali rakan-rakan baru serta mendorong mereka untuk terus terlibat dalam pelayanan koir dan muzik.
Tahniah kepada semua peserta, penceramah dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Nyanyian adalah doa; mari kita memuliakan Tuhan dengan suara dan hati.”