Surat Pastoral (15/3/2021)

15 Mac, 2021

Para umat CDM yang dikasihi, Lebih dari setahun telah berlalu sejak Pandemik Covid-19 mengubah cara hidup kita sepenuhnya. Sebagai Gereja, kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan secara dalam talian, belajar untuk membiasakan diri dalam beribadat melalui Misa dan berdoa secara dalam talian, berhubung secara maya untuk berdoa, mengadakan mesyuarat pelayanan, kelas katekismus dan IKD, dan menjadi lebih kreatif dalam cara kita berhubung dan menjangkau kepada sesama dan umat di serata dunia. Hujung minggu yang lepas kita mendapat peluang kedua untuk membuka kembali gereja-gereja kita dalam jumlah yang terhad, dengan mendukung harapan keadaan akan bertambah baik, terutamanya apabila vaksin semakin banyak diedarkan.

Namun, di sebalik halangan yang kita hadapi, Allah tidak pernah meninggalkan kita. Apabila pintu di hadapan kita ditutup, Allah membuka tingkap! Melalui tingkap itu telah muncul satu HARAPAN. Walaupun pandemik ini telah mengakibatkan banyak kesulitan, ianya juga telah menjadi guru bagi kita, yakni mendorong kita untuk membuat penilaian semula, merenung dan belajar melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza! Ya, sebilangan umat di paroki kita telah dijangkiti Covid, namun syukur dan Puji Tuhan, semua orang yang saya kenal telah berjaya mengatasinya, walaupun terdapat ramai orang di luar sana dalam masyarakat kita yang kehilangan nyawa mereka. Dalam kita saling berkongsi cerita, kita dengar akan keputusasaan dan kehilangan harapan, namun ada juga keberanian dan ketabahan. Kita tidak boleh melupakan mereka yang terjejas secara negatif, sama ada dari segi ekonomi, psikologi atau rohani. Mereka yang kehilangan pekerjaan, merasa keseorangan dan diabaikan, dan terputus hubungan dari Allah dan masyarakat. Di sini, kita diingatkan akan MISI kita sebagai pengikut misionaris yang menjadi tangan dan kaki Kristus dalam menjangkau dengan penuh cintakasih! Tidak seorang pun harus merasa tersisih - kita semua adalah keluarga Allah.

Pelayanan Perkembangan Manusia Bersepadu Paroki kita (PIHDM), dalam kerjasama dengan KED-KED dan Tim Pelayanan-Pelayanan di Paroki, telah berada di barisan hadapan, bekerjasama dengan mereka yang menghulurkan bantuan kepada golongan Migran, Tersesat, Tersisih dan yang Muda. Tugasan yang penting ini akan diteruskan, dan kami berharap agar anda semua akan terus menyokong inisiatif yang sedang diusahakan ini. Sesungguhnya, inilah desakan yang diminta oleh Keuskupan Agung agar diteruskan oleh kita semua – iaitu menjangkau untuk menghadapi berbagai keperluan, ingin melayani dan bukan untuk dilayani, seperti yang ditunjukkan oleh Kristus kepada kita apabila Dia membasuh kaki Kedua Belas anak-murid-Nya dan mengorbankan diri-Nya di kayu Salib .

Walaupun kebanyakan dari program kita harus diteruskan secara atas talian, kita berharap agar secara beransur-ansur kita akan dapat bertemu secara fizikal. Walaubagaimanapun, kita harus menerima hakikat bahawa keadaan tidak akan kembali seperti sediakala sepenuhnya. Sebilangan pertemuan harus diteruskan secara dalam talian kerana kita telah menjangkau orang-orang baru yang tidak mempunyai hubungan terus dengan Gereja - bahkan ada yang dari luar negara telah mengenal dan mengasihi Yesus melalui jangkauan dalam talian CDM. Orang yang tidak pernah mempunyai waktu untuk program pembentukan kerohanian, telah merasa dahaga secara batin dan mulai terbuka kepada apa yang ditawarkan, tanpa perlu melakukan perjalanan atau meninggalkan rumah! Kita mesti mengambil kesempatan akan kaedah teknologi baru ini, dan pada masa yang sama membantu mereka yang tidak pernah berpeluang untuk berhubungan dengan yang lain, agar dapat terus sentiasa terhubung.

Norma Baru memerlukan kita untuk lebih berani dan berdaya kreatif, dan tidak berpegang pada pemikiran bahawa cara lama adalah yang terbaik. Kita perlu belayar seiring dengan arus Roh Kudus; jika tidak, kita akan menjadi tidak relevan. Kita memerlukan nyalaan api Roh untuk membakar kita dengan semangat dinamik dan kerasulan. Kita memerlukan SEMUA orang untuk membara demi Tuhan, dan merelakan cintakasih dan keghairahan kita untuk melimpahi satu sama yang lain.

Sesungguhnya, Pernyataan Visi dan Misi kita (dihalaman sebelah) yang telah dimuktamadkan ketika kita memasuki peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, perlu menjadi kenyataan yang hidup dan penuh cintakasih, dalam kita terus membiasakan diri dengan situasi yang sering berubah. Perancangan dan inisiatif 2021 kita akan diselaraskan dan disesuaikan dengan cadangan Paus Fransiskus dan Gereja Sejagat (Tahun St Joseph), serta Keuskupan Agung KL dan Gereja Malaysia, dan inisiatif CDM kita sendiri, segalanya atas dorongan Roh Kudus.

Kita akan meneruskan usaha memelihara alam sekitar kita selaras dengan dokumen 'Laudato Si' Paus Fransiskus. Tumpuan kepada KED kita sebagai batu asas bagi paroki kita akan diteruskan – sebab sememangnya semasa PKP, pihak KED kitalah yang telah membolehkan kita untuk menghulurkan bantuan kepada umat-umat kita dan juga golongan miskin di kawasan persekitaran. Segalanya ini bukan hanya didorong oleh doa dan ucapan selamat sahaja. Kita memerlukan sokongan kewangan anda yang berterusan. Pihak gereja telah menyediakan kaedah pembayaran secara dalam talian, bahkan TouchNGo juga bagi memudahkan proses, oleh kerana anda tidak dapat berada di gereja secara fizikal.

Tema bagi Gereja Semenanjung Malaysia kita tahun ini, HARAPAN: PERCAYA, HIDUP DAN MEMBERI, mendorong kita untuk terus Berharap – sebab di CDM ungkapan kita adalah, YESUS, AKU PERCAYA KEPADA-MU! Kita dipanggil untuk menerapkan kepercayaan dan iman kita melalui tindakan, dengan cara memberikan masa, bakat dan harta kita.

Tidak lama lagi kita akan menyambut Paskah dan Pesta Divine Mercy kita…. Dalam menghadapi Penderitaan & Kematian, semoga kita melihat lebih daripada Kehidupan Yesus yang Bangkit yang memanggil kita untuk terus maju kehadapan. Semoga kita akan terus dapat mewartakan dalam kehidupan kita: YESUS, AKU PERCAYA KEPADA-MU! Semoga setiap hari kita sedar akan kehadiran, perlindungan dan kuasa Allah.

Dalam doa, cintakasih dan damai,

Fr Gerard Theraviam,
Paderi Paroki, CDM

Tema Bulanan dan Tema PMPT 2021
Harapan: Percaya, Hidup dan Memberi

BulanPeristiwaTarikhTema BulananKitab Suci
Januari Hari Minggu Sabda Allah 24 Jan Sabda telah Menjadi Daging Yoh. 1: 1-5
Februari Minggu Keharominan Sedunia 1-7 Feb Solidaritas dalam Kepelbagaian Fil. 2: 1-4
Mac Hari Wanita Antarabangsa 8 Mac Menyemarakkan Kesamaan Gal. 3:28
April Musim Paskah 4 April- 23 Mei Bangkit dalam Pengharapan 2 Kor. 4:13-15
Mei Hari Keluarga Antarabangsa 15 Mei Kebersamaan dalam keadaan Baik dan Tidak Baik Gal. 6:2-5
Jun Hari Gawai/Kaamatan 30 Mei - 2 Jun Merapatkan Sempadan Budaya Ef. 4:2-6
Julai Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia 30 Julai Buka mulutumu, Pertahankan yang Tertindas Im. 31: 8-9
Ogos Maria diangkat ke Syurga 15 Ogos Maria, Bonda Pengharapan Luk 1:37-38
September Hari Penjagaan Penciptaan Sedunia 1 Sept Seluruh Bumi Mewartakan Tuhan Rom. 8: 18-21
Oktober Hari Minggu Misi 24 Okt Menebar ke Tempat Dalam Luk 5:1-7
November Hari Orang Papa Sedunia 14 Nov Orang Papa: Harta Gereja Yak 2:5-8
Disember Musim Krismas 25 Dis- 5 Jan Jangan Takut, Aku Memberitakan Khabar Gembira Kepadamu Luk 2:10

bm