Santo Yusuf - Santo bagi Bulan Mac 2019 CDM

Menurut petikan daripada Injil Matius dan Injil Lukas, Santo Yusuf merupakan bapa kepada Yesus Kristus di bumi dan suami kepada Perawan Maria.

Dia pertama kali disebut di dalam Alkitab melalui Injil Matius dan Injil Lukas; Menurut Matius, Yusuf adalah keturunan Raja Daud.

Dalam kedua-dua tradisi Katolik dan Protestan, Santo Yusuf dianggap sebagai santo penaung bagi pekerja. Santo Yusuf juga dianggap sebagai contoh kepada para bapa. Perayaan beliau menurut tradisi Barat dirayakan pada 19 Mac dan juga 1 Mei (Santo Yusuf Pekerja).

Pada Tahun 1870, Paus Pius ke-9 mengisytiharkan Santo Yusuf sebagai penaung kepada Gereja Universal. Setelah meninggal di sisi Yesus dan Maria menurut tradisi Katolik, beliau dianggap sebagai contoh orang yang beriman yang menerima rahmat pada saat diambang kematian, dalam erti kata lain, penaung kepada kematian dalam kegembiraan.

Kitab Suci menerangkan bahawa Santo Yusuf hanyalah seorang lelaki dewasa dan Tuhan memberikan beliau tugas yang amat berat sebagai suami kepada seorang wanita yang bakal melahirkan Mesiah dan seorang bapa serta pelindung kepada Keluarga Kudus tersebut. Beliau adalah seorang yang amat dekat dengan Kristus.

Santo Yusuf dikenali sebagai seorang yang mulia dan mempunyai kerohanian yang sangat mendalam, tukang kayu, putra kepada Daud, hamba Allah dan suami yang pengasih kepada Maria – seorang lelaki yang bergelut dalam keraguan namun tetap menerima misteri iman yang mendalam dan Kelahiran Ajaib, kelahiran dari seorang Perawan: penjelmaan Putra Allah, dan cabaran yang luar biasa dalam melindungi serta membesarkan Yesus walaupun berhadapan dengan ancaman nyawa di saat kelahiran Yesus dan seterusnya.